I made this widget at MyFlashFetish.com.

Usia Kita

Thursday, June 2, 2011

Khilaf

Dia merenung jauh. Lama dia diam sebegitu. Dan hampir setiap hari, masanya akan habis di pintu rumah usang itu, duduk sambil mengesat air mata yang tidak pernah habis. Mata tuanya sentiasa merah, digenangi air. Sembab yang tidak pernah hilang, dan terus akan melingkari mata itu. Sesekali, dia tersedu, penuh kesedihan yang memeritkan.

Dia menarik nafas dalam-dalam bersama senja yang mula memerahkan suasana alam. Keluhan perlahan kedengaran. Kakinya yang memijak tangga kayu diangkat sedikit dan dengan segala kekuatan yang ada dia cuba bangun dengan terketar-ketar dan terus masuk ke dalam rumah.

****

Dia tersenyum melihat tiga orang anak lelakinya bermain bola dihadapan rumah. Kagum dengan setiap anak yang baginya cukup sempurna. Punya otak yang bijak, stamina yang kuat. Sesekali dia tergelak melihat si adik terjatuh ketika mengejar bola.

“Mak, Min nak main dengan abang boleh?”

Dia menoleh ke belakang. Melihat seorang lagi anaknya, yang bongsu, perempuan, Jasmin. Dia mengerutkan kening dan mengetap bibir geram. Jasmin sudah mula tunduk ketakutan.

“Kau dah tak ada kerja lain? Pergi bersihkan dapur!” Jeritnya lantang. Jasmin terangguk-angguk dan terus berlari ke dapur. Dalam usianya yang baru 10 tahun, dia sudah boleh memasak untuk makanan satu keluarga. Hasil didikan maknya.

Malam menjelang. Jasmin terperuk di satu sudut dihujung dapur berdindingkan zink, melihat tiga orang abangnya sedang menikmati makan malam dengan mak. Ayah sudah lama pergi. Jasmin sendiri tidak pernah lihat wajah ayah.

“Min, ambikkan aku nasi lagi.”

Jamil, anak lelaki yang sulung menghulurkan pinggan pada Jasmin. Jasmin diam tidak bergerak. Sejujurnya, dia letih dilayan seperti orang gaji. Dia yang mencuci baju, mengemas rumah, memasak. Waktu malam tiba, dia harus melipat kain yang menimbun, menggosok baju sekolah abangnya, mengapur kasut. Jadi bila dia harus melakukan kerja yang remeh seperti yang di suruh sekarang, dia diam membatu.

“Apa kau pekak, Jasmin?!”

Jasmin terus bangun dan mencapai pinggan Jamil lalu menyenduk nasi dari dalam periuk. Suara maknya yang ibarat petir sentiasa membuatkan jantung Jasmin seperti hendak tercabut. Pinggan berisi nasi dihulurkan kepada Jamil. Perlahan dia melihat lima ekor ikan sela kuning yang digoreng tadi sudah habis. Cuma tinggal tulang. Luluh hati Jasmin. Hanya lauk itu yang ada untuk malam ini.

“Kau berdiri kat sini lagi nak buat apa? Pergi sana cepat!”

Jasmin akur dengan arahan maknya. Dia kembali duduk di sudut dapur, memerhati empat beranak makan malam sambil tertawa riang.

‘Apa aku nak makan malam ni?’

Ketika mak dan tiga abangnya sudah lena tidur, Jasmin menyudahkan kerja sekolahnya laju. Dengan mata terpisat-pisat, dia turun ke dapur. Perut yang berkeroncong digosoknya perlahan. Periuk nasi diambil.

Liur ditelan. Periuk yang hanya ada kerak didalamnya sudah diisi air. Lama Jasmin merenung periuk nasi itu. Air mata menitis perlahan dipipi. Periuk itu diletakkan semula. Dia berjalan ke rak dapur yang dibuat dari kayu, mengambil tin biskut di atas para. Tin dibuka menggunakan sudu.

Cuma ada sekeping biskut mayat yang patah sedikit dihujungnya. Jasmin tersenyum. Dia mengambil secawan air panas dan biskut tadi dicicahnya. Tiada rasa. Namun Jasmin menikmati setiap gigitannya, dikunyahnya sehingga 44 kali. Itu saja cara yang ada untuk dia mengalas perut malam ini. Biskut habis, Jasmin menonggengkan tin biskut dan tangan kanannya menadah serdak-serdak biskut yang keluar lantas memakannya sedikit demi sedikit.

Usai ‘makan malam’, Jasmin baring di hujung ruang tamu gelap keseorangan. Beralaskan tikar, sebiji bantal kekabu yang sudah berketul-ketul isinya dan sehelai selimut yang sudah koyak-koyak. Jasmin tidur dengan perut yang berirama sendu.

****

“Mak, Min dapat 8A mak! Min dapat 8A!” Jasmin berlari laju mendapatkan maknya yang duduk dipangkin bawah pokok rambutan di halaman rumah. Slip keputusan SPM diunjuk.

“Hmm. Kau pergi masak tengahari cepat. Kejap lagi Jamal dengan Jalil nak balik.” Maknya terus duduk menjahit silang pangkah pada sehelai baju kurung diribanya. Sedikit pun tidak melihat keputusan Jasmin.

“Mak, ni Min punya keputusan. Mak tengok lah.” Jasmin masih berdiri di sebelah maknya, dengan kertas putih di tangan. Maknya berpaling laju melihat Jasmin. Matanya dibulatkan. Jasmin tertunduk dan terus berpaling masuk ke dalam rumah.

Jasmin kira, keputusan SPM yang diperoleh ini boleh mengubah sedikit layanan mak pada dirinya kerana jika hendak dibandingkan antara dia dan abang-abangnya, dia yang paling bijak. Abang sulungnya, Jamil, SPM cukup-cukup makan. Sekarang duduk dibandar, kerja kilang. Jamal, abang kedua, lepas SRP, sudah tak mahu sekolah lagi. Manakala Jalil, SPM nya gagal. Mereka berdua sekarang mengerjakan ladang getah Haji Sabran, ketua kampung.

“Bagaimana keputusan SPM kau, Min?” Soal Jamal ketika Jasmin meletakkan pinggan berisi nasi di hadapan abangnya itu.

Jasmin tersenyum manis. “Alhamdulillah bang. Min dapat 8A. Cikgu cakap, boleh masuk universiti.”

Jamal terangguk-angguk ikut tersenyum. Dia bangga punya adik yang pintar macam Jasmin. Sekurang-kurangnya, nasib keluarga mereka boleh berubah. Maknya yang duduk makan mempamerkan wajah yang sedikit tidak senang.

“Kau jangan berangan nak masuk universiti. Esok pagi kau ikut Jamal dengan Jalil pergi menoreh.”

Jasmin mengeluh perlahan. “Tapi mak…”

“Betul cakap mak tu. Kau tu perempuan. Belajar tinggi-tinggi pun, nanti kau duduk dekat ceruk dapur jugak.” Jalil sedikit menempelak. Jamal menoleh melihat Jalil, tajam. Jalil terus tunduk menyuap nasi.

“Biarlah Jasmin masuk universiti. Sekurang-kurangnya dalam keluarga kita, ada yang berjaya pegang ijazah, mak. Lagipun, dia dah susah payah belajar. Biarlah dia rasa manisnya sendiri.”

Maknya mendengus. “Aku tak ada duit, Jamal. Aku tak ada duit!”

“Itu mak jangan risau. InsyaAllah aku boleh tanggung perbelanjaan dia.” Jamal bersuara. Jasmin tunduk tersenyum.

‘Terima kasih, abang Jamal.’

****

Jasmin berdiri di hadapan rumahnya yang dipenuhi lelaki berkopiah putih dan wanita bertudung. Kebanyakan dari mereka membaca Yaasin. Jasmin laju melangkah ke dalam rumah. Sekujur tubuh diselimuti kain batik bercorak jalur-jalur serong berwarna coklat terbaring di ruang tamu beralaskan tikar mengkuang. Jasmin tunduk menyelak kain yang menutupi keseluruhan jasad itu.

Air mata Jasmin menitis. “Abang Jamal.” Perlahan suaranya kedengaran.

Pagi tadi ketika dia dalam perjalanan menuju ke kampus, dia menerima panggilan telefon dari Jalil. Katanya, Jamal dipatuk ular tedung ketika sedang menoreh. Jamal tidak dapat diselamatkan kerana ketika Jalil menemuinya, bibirnya sudah kebiruan. Dan Jamal menghembuskan nafas terakhir ketika Jalil berusaha membawanya pulang ke rumah.

Malam sunyi. Usai majlis tahlil untuk Jamal, Jamil terus duduk di muka pintu sambil merokok. Asap berkepul-kepul masuk ke dalam rumah ditiup angin. Maknya yang baru lepas mengaji keluar dari bilik dan duduk di kusyen berkerusi rotan berdekatan tingkap kayu yang terbuka luas. Jalil hilang entah ke mana.

“Mak, esok aku pulang ke bandar.” Jamil bersuara sambil merenung kegelapan malam. Jasmin yang duduk disatu sudut membaca buku kerana peperiksaan final yang makin hampir menoleh melihat abangnya.

Maknya mengeluh. “Tak boleh ke kau tunggu lagi dua tiga hari, Mil?”

“Aku banyak kerja, mak. Ini pun bos aku marah ambik cuti.”

“Kan abang Jamal meninggal. Takkan lah bos abang tak boleh bertolak ansur sikit pun?” Jasmin mencelah. Sedikit kesal dengan sikap abang sulungnya.

“Kau jangan menyampuk boleh tak, Min?!” Jamil menengking. Jasmin yang duduk bersandar didinding rumah ditenungnya tajam, lagak seperti hendak menelan.

“Betul cakap Min tu. Tak boleh ke bos kau bagi cuti lama sikit?” Buat pertama kali dalam hidup Jasmin, maknya setuju dengan kata-katanya.

“Ah kalau aku cuti sekalipun, bukan Jamal hidup semula.”

Bulat mata Jasmin. “Abang! Kenapa abang cakap macam tu?!”

“Sudah Jasmin! Masuk dalam bilik kau sekarang!” Tiba-tiba maknya berang dengan tingkah Jasmin. Jasmin terkedu. Perlahan dia bangun dan berjalan masuk ke dalam bilik. Namun langkahnya terhenti ketika maknya bersuara lagi.

“Esok kau ikut Jalil motong getah. Kau dah tak payah belajar di universiti tu lagi. Berhenti.”

Laju Jasmin menoleh. “Mak… Min tinggal setahun je lagi nak habis mak. Min tak boleh berhenti.” Sedih nada suaranya.

“Biaya universiti tinggi. Aku tak ada duit. Kalau dulu Jamal ada, sekarang dah tak ada yang nak tanggung kau. Dengar cakap aku. Berhenti saja.”

Jamil tergelak sinis. Jasmin terus berlalu ke dalam bilik, menangis keseorangan. Mengenangkan Abang Jamal, mengenangkan nasib dirinya.

****

Jasmin dinikahkan dengan seorang pemuda kampung yang bertanda hitam di dahi. Shahrul, anak arwah Kiai Hashim. Satu kampung tahu bagaimana waraknya Shahrul. Dari subuh hingga ke Isya’ dia di surau di hujung kampung. Pakaiannya jubah putih, dihiasi serban yang dililit kemas di atas kepala. Janggut panjangnya dipadankan dengan celak hitam pekat di bawah mata.

“Lauk ikan kering lagi?!” Shahrul menjerit ketika membuka tudungan di atas meja. Jasmin menelan liur di dapur.

“Getah belum dapat hasil lagi, bang. Itu je yang mampu saya sediakan hari ni.”

Shahrul berang. Tudung saji dicampak mengenai kaki Jasmin. “Bini jenis apa kau ni?! Sepatutnya kau wajib sediakan makanan yang sedap-sedap untuk aku makan! Bukan makanan untuk kucing!”

Ikan kering di dalam pinggan dicampakkan ke tanah. Habis pecah pinggannya, bertaburan ikannya. Jasmin berlari ke tanah, laju mengutip ikan kering yang sudah beralaskan tanah.

“Astaghfirullah al-Azim. Abang, ini kan rezeki kita hari ni.” Air mata mengalir di pipi mulus Jasmin. Kesal dengan perangai suaminya yang baran tak bertempat.

“Kau jangan nak menjawab, Min!”

Jasmin berdiri. “Salah ke apa yang saya cakap?” Berani.

Shahrul laju menghampiri Jasmin. Rambut Jasmin yang terikat satu direntap, Jasmin terjerit kesakitan. “Kau kena ingat, syurga kau dekat bawah tapak kaki aku.” Bisiknya kuat ditelinga Jasmin.

Jasmin hilang sabar. Tiga tahun dia menahan hati dengan perangai suaminya. Di depan orang, dialah imam, dialah ustaz. Pandai menasihati orang, jaga isteri, jaga anak sebaik mungkin kerana itu amanah Tuhan. Tapi dia sendiri?

Jasmin menolak kuat Shahrul. “Syurga apa yang ada dekat bawah tapak kaki suami macam awak, Shahrul? Hah!? Siang malam awak ke masjid, langsung tak tahu nak cari rezeki untuk isteri awak. Kalau saya ni tak pergi menoreh, tak jual sayur, tak pergi mencuci dari rumah ke rumah, agaknya awak dah mati kebulur!”

“Kurang ajar!” Shahrul merentap semula rambut Jasmin. Kemudian dia menarik isterinya itu ke pokok mangga di sebelah rumah. Beberapa kali di hantukkan kepala isterinya itu ke pangkal pokok. Biarpun dijerit sekuat hati, Shahrul langsung tidak mempedulikan kesakitan yang dialami isterinya itu.

Darah mengalir laju ketika mata Jasmin tertusuk pada tunggul kecil pada pokok mangga itu, kesan tebangan Jasmin dua minggu lepas. Shahrul berhenti melakukan tindakan gilanya bila Jasmin diam tidak terkutik. Dia bernafas dengan laju.

Shahrul menuju ke stor belakang rumah. Segulung tali berdiameter 50 milimeter di ambil dan dibawanya ke pokok mangga. Jasmin yang sudah tidak sedarkan diri diikat kuat pada pokok mangga. Lehernya dijerut.

Shahrul tersenyum puas. Dia berlari ke dalam rumah, menyumbat beberapa jubah yang ada ke dalam beg hitam. Topi keledar di penjuru anjung di capai. Motosikal cabuknya dihidupkan dan dia terus pergi.

****

Pagi menjelang. Dia membuka tingkap-tingkap kayu yang tertutup rapat. Kemudian dia menolak pintu rumah. Dan seperti hari-hari biasa, dia duduk melunjur kaki di hadapan rumah. Dia sudah tidak bisa lagi memikirkan perut yang harus diisi. Dia hanya mampu duduk termenung berjam-jam di depan rumah memikirkan tentang nasib dirinya.

Dia punya tiga orang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Anak sulungnya kini hidup mewah di bandar. Sudah tidak pernah pulang. Malah dia sendiri dihalau ketika menjejakkan kaki dirumah anaknya itu. Anak kedua meninggal di patuk ular. Anak itu lembut hatinya, jujur sifatnya. Namun umurnya tidak panjang. Dan anak lelaki yang ketiga, ditangkap polis ketika mengedar dadah. Kini dipenjara dan menunggu untuk dihukum gantung.

Dia mengesat air mata ketika terfikirkan tentang anak bongsunya. Mengenangkan kesusahan satu-satunya anak perempuan yang dia ada. Anak yang berusaha mengubah nasib keluarganya, tetapi dia sendiri menghalang anaknya itu meneruskan pelajaran. Malah dinikahkan pula dengan seorang pemuda kampung yang pemalas, hanya tahu cakap kosong. Cumanya, tanda hitam di dahi berjaya memalsukan segala kesyaitanan yang terselindung.

Sebulan yang lalu, dia sendiri melihat mayat anak perempuannya terikat kuat di pokok mangga di sebelah rumah suami anaknya itu. Dengan mata yang hancur, leher terjerut, mayat itu terjelupuk busuk ketika orang kampung membuka ikatan. Suaminya hilang entah ke mana.

Dia menangis lagi. Menyesali nasib si anak yang sentiasa dikerah agar mengikut kata-katanya. Penyudahnya, anak perempuannya mati terseksa. Tanpa sedikit pun sempat merasai kebahagiaan.
 
‘Maafkan mak, Jasmin.’

 

No comments:

Post a Comment